12th WARRIORS

AKU tidak tahu kau di mana sekarang, tapi aku yakin hatiku ada bersama-samamu, seperti hatimu yang selalu dalam belaian cinta hatiku.

Kau tentu tahu betapa sukarnya untuk aku mengelak dari memikirkan tentang dirimu. Kau selalu minta supaya aku tidak risau dalam meneka jejak hidupmu. Salahku juga kerana tidak memberi perhatian yang baik kepadamu, membuat kau rasa terpinggir dari cinta ini, walhal kau tidak pernah hilang dalam setiap bisikan kalimah cintaku.

Kadang-kadang aku tersinggung dengan kata-katamu, “nak kata ada macam tak ada, nak kata ada macam tak ada”, setiap kali teman barumu bertanya hal kekasih. Sedangkan hati ini begitu mencintaimu dan sentiasa mempertahankan kejujuran dalam percintaan ini.

Aku tidak mampu berbuat seperti yang kau lakukan, peroleh kawan lelaki yang boleh kau jadikan teman untuk keluar bersama. Hati aku tidak tergamak untuk mencari kawan wanita, dan berbuat seperti itu. Itulah pendekatan yang aku gunakan untuk tidak menimbulkan rasa sangsi pada kesetiaan cintaku padamu.

Aku cuba untuk membiasakan diri dengan caramu. Aku cuba menerima perubahan yang kau tampilkan kerana aku tahu perubahan itu mampu membuat kau gembira, serta mengisi ruang-ruang kosong yang tidak terisi oleh diriku.

Cemburu. Aku akan belajar untuk menyembunyikan perasaan itu daripadamu dan aku tidak akan mempersoalkan apa yang kau lakukan, selagi kau sepertiku, memelihara kejujuran dan kesetiaan pada cinta kita.

Pedih hati ini bila kau tidak mengiakan aku adalah kekasihmu, tapi kau punya sebab untuk berbuat demikian. Katamu, biarlah sesama hati kita yang tahu apa yang terjalin antara kita. Mereka yang lain tidak penting.

Terguris hati ini bila ditanya “awak siapa?” bila sms yang aku hantar ke telefonmu dijawab oleh lelaki lain. Kau tentu faham perasaan aku kerana aku percaya kau juga akan berperasaan yang sama jika panggilan telefonmu kepadaku dijawab oleh orang lain, seorang perempuan yang kemudiannya bertanya kepadamu, “awak siapa?”

Aku cuba untuk memahami dirimu dan tidak akan membatas kehidupanmu. Dan permintaanmu agar aku sentiasa mengingatkan dirimu agar tidak tersasar, akan sentiasa aku lakukan.

Kau takut kehilangan kawan bila mereka tahu kau sebenarnya berkasih denganku. Pada dasarnya, atas sifat berkawan kita akan terus berpegang pada prinsip berkawan, kecuali jika sebenarnya ada maksud-maksud lain yang hendak dicapai menggunakan landasan “kawan” tersebut.

Aku percaya pada kata-katamu yang kau akan menjaga hatimu yang telah kau serahkan padaku. Cuma, aku kenal akan dirimu dan aku gusar kau akan mudah terawang dengan kata-kata menjerat cinta yang dituturkan oleh “kawan” mu.

Terasa hati bila watakku yang kau gemari telah kau jumpa pada kawanmu. Seolah-olah aku sudah ada kembar yang mampu membahagiakanmu, memberi keselesaan padamu dan menjalin keserasian bersamamu.

Aku tidak mahu memikirkan tentang perkara ini, kerana ia menjadikan aku tidak terurus dan gusar selalu. Tapi, sebagai seorang yang amat mencintaimu, aku tidak dapat lari daripada memkirkan dirimu. Seperti dahulu juga; di mana kau, apa yang kau sedang lakukan, dengan siapa kau bersama, sudahkah kau makan dan minum, baju apa yang menjadi persalinanmu, dan banyak lagi pertanyaan sepertinya.

Aku tidak takut, atau malu dan tidak sekali-kali berasa sangsi bila mengatakan bahawa kau adalah kekasihku dan aku tidak perlukan kekasih lain. Aku harap kau akan ada keberanian untuk berkata yang sama.

Tidak perlu kau menduga aku dengan kiasan yang condong mengatakan aku ada “insan lain”. Aku ada dirmu, dan aku ada cintamu. Itu sudah cukup untuk aku, dan itulah kebahagiaanku.

Aku Cinta Padamu, hingga ke hujung nyawa. Hanya itu yang aku tahu.

Categories:

Leave a Reply