12th WARRIORS


HANTU MOTEL! Sekali dengar mungkin ada yang menyangka itu naskhah seram yang mampu meluruhkan jantung dengan babak-babak kejutan dan hilai tawa hantu.

Sebenarnya, tiada apa yang perlu dikhuatirkan untuk menonton drama 13 episod yang bakal disiarkan di Astro Prima itu kerana genrenya cuma komedi seram.

Bakal menggeletek penonton dengan lawak bersahaja yang pasti tak kering gusi daripada barisan pelakon tersohor tanah air antaranya Bell Ngasri, Ayu Raudhah dan Shamsul Ghau-Ghau, Hantu Motel turut memberikan pengajaran dari segi mesej kekeluargaan, persahabatan dan percintaan.

Selain itu, drama yang diarahkan oleh Dinesh Samby itu turut dilakonkan oleh pelakon veteran, Maideen dan Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah.

Mengakui tidak berdepan dengan kesukaran memegang watak utama dalam drama itu, Bell Ngasri bagaimanapun terpaksa meneroka sendiri sisi humor dalam dirinya.

“Watak dan skrip dalam kisah komedi seram ini sedikit berlainan daripada drama biasa, syukur alhamdulillah selama proses pembikinan saya dibantu oleh pengarah dan krew produksi untuk membentuk elemen lawak tapi pada masa yang sama terkandung unsur seram dan pengajaran tersendiri,” katanya yang ditemui ketika sidang akhbar selepas pratonton drama Wasiat dan Hantu Motel di Cineleisure Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Drama itu mengisahkan dua sekawan bernama Amir dan Salman yang terpedaya dengan skim cepat kaya sehingga hampir diisytiharkan muflis.

Kedua-duanya mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan wang dan membayar kesemua hutang piutang terdahulu sehingga sanggup bermalam di sebuah motel milik datuk mereka.

Sepanjang bermalam di motel itu, mereka berdepan dengan pelbagai helah hantu yang berhasrat menghalau manusia yang cuba mendiami motel itu.

Drama Hantu Motel akan mula menemui penonton pada setiap hari Jumaat bermula 5 Ogos ini pukul 10 malam di Astro Prima (saluran 105).



http://www.kosmo.com.my

Categories:

Leave a Reply